Pekan Kota seperti tidak sepadan dengan gah dan gemilang tempat inilima abad yang lalu. Sesiapa yang menekuni sejarah awal peradaban dan perkembangan Adat Perpatih akan turut mengakui bahawa di bumi Kota inilah terbinanya asas perkembangan adat tersebut di Daerah Rembau.
Blog ‘Nagari Nan Tuo’, mencatatkan bahawa nama purba ‘Kota’, ialah ‘GOMBIGHO’(Gembira ) di dalam catatan beliau, ‘Sejarah Ringkas Rembau’. Dikatakan bahawa kampung ini telah dibuka oleh penduduk asal, Batin Pak Nilu di sekitar tahun 1502.
Bagaimanapun, nama Kampung Gombigho telah ditukar kepada Kampung Kotor (sekarang dinamakan Kota ) oleh Datuk Bungkal binti Batin Sekudai. Datuk Bungkal, dari keturunan Orang Asal Suku Jakun, ialah anak angkat kepada Datuk Leteh, yang berasal dari Tanah Minangkabau.
Rentetan sejarah mengenai penempatan awal di Kampung/Pekan Kota agak panjang. Dipendekkan cerita, Datuk Bungkal binti Batin Sekudai telah berkahwin dengan pembesar dari Tanah Minangkabau, Datuk Lela Balang di Kampung Kotor (Kampung Kota Lama).
Anak lelaki pasangan itu (Datuk Bungkal binti Batin Sekudai dan Datuk Lela Balang), Datuk Sri Rama bin Datuk Lela Balang, telah di’kerjankan’ sebagai Penghulu Rembau (sekarang dipanggil Undang Luak Rembau) yang pertama di Kampong Kota di sekitar tahun 1540.
Dari keturunan anak perempuan pasangan Datuk Bungkal binti Batin Sekudai dan Datuk Lela Balang juga lahirnya keturunan elit Suku Biduanda Lela Maharaja. Dalam sistem Adat Perpatih di Rembau, anak lelaki dari Suku Biduanda Lela Maharaja sahaja yang layak menyandang jawatan Undang Luak Rembau dan juga jawatan-jawatan penting yang lain secara bergilir dengan keturunan dari Suku Biduanda Sedia Raja. Keistimewaan tersebut kekal hingga ke hari ini.
No comments:
Post a Comment